antologi

Kasih al-Qarni

11:38 AM

Dalam bas menuju WG IPIJ 2016 di Ichikawa

Humaira melepaskan pandangan ke luar tingkap, sebak didada kian terasa namun cuba dihilangkan dengan menikmati alam terbentang luas di hadapan mata.

Indah nian ciptaan al- Khaliq, bagaikan lukisan menghiasi tingkap bas sepanjang permusafiran. Nikmat pancaindera yang masih dipinjamkan, mengundang tahmid dan tasbih bertalu-talu dalam hatinya.

"Ayah, Ma. Maya nak cakap sikit"
Perbualan di warung berdekatan stesen bas tadi kembali menjengah di fikiran.

Humaira pandang mata ibu bapanya dalam-dalam.
Sampul pertama dibuka, tawaran melanjutkan master di Canada bersama biasiswa penuh. Sampul kedua, surat kelulusan permohonan kerja di syarikat Jepun dengan tawaran gaji yang tinggi. Sampul ketiga, tulisan tangannya tertulis, "tinggal bersama ma dan ayah, mulakan pencarian kerja atau biaya master di Malaysia".

"Maya dah fikir masak-masak, Maya pilih ma dan ayah."

Encik Fahim berteleku memandang meja. Mata Puan Muna mula bergenang, sesekali memandang suaminya yang mendiamkan diri.

"Tentang 2 pilihan tu, Maya cuma nak kongsi berita gembira pada ma dan ayah", suara Humaira sedikit bergetar. Menandakan pilihan yang dibuat bukan suatu yang mudah.

Encik Fahim bukannya tidak faham semangat yang melonjak lonjak dalam diri anak tunggalnya tentang keinginan menyambung belajar dan mengembara di bumi orang. Tapi rindu yang ditanggung bertahun tahun ini sudah cukup menyeksakan, apatah mendapat berita mahu ditinggalkan lagi.
Isterinya kini telah kabur pandangan mata dan menghidapi sejenis penyakit yang mula memasuki stage ke 4, semakin hari semakin lemah dan tidak bermaya.

Dalam tempoh 2 bulan cuti semester, Humaira lah memandikan ibunya ketika Puan Muna ditahan di Hospital. Setiap malam, kaki bapanya pula diurut dengan minyak zaitun supaya tidak kekeringan dan pecah kulit.

Encik Fahim berbelah bagi. Anaknya itu sejak awal sekolah menengah lagi sudah meninggalkan halaman rumah, kini bagaikan mahu dituntut semula kehadiran permata itu disisinya, menjaga pakai minum dirinya yang kini uzur berkerusi roda.

"Ayah ada simpanan duit pencen untuk digunakan bagi mengupah pembantu menjaga ayah dan ma"
Encik Fahim memulakan bicara.

Humaira tersentak. Tidak pernah dia menyangka ayat seumpama itu meluncur keluar dari mulut ayahnya. Berdosakah dia?

"Ayah dan Ma pernah berbincang tentang hal ini. Kalau betul Maya sudah bercita-cita mahu merantau, kami sudah bersedia. Jadi janganlah ditahan-tahan azam itu. Kami redha, kejayaan Maya kebahagian kami juga."

Humaira menekup mulutnya menahan esak tangis. Difikirkan pengorbanannya sudah cukup besar, namun jelaslah tidak akan mungkin mampu menandingi kasih sayang insan bernama ayah dan ibu.

Perbualan mereka terhenti disitu. Humaira membayar bil restoran dan menolak kerusi roda ayahnya keluar dari warung menuju ke kereta. Pak Samad, jiran sebelah rumah mereka sudah setia menanti di pintu kereta, bertugas menjadi pemandu mereka hari ini. Kebetulan pagi Ahad dia tidak bekerja sebagai pemandu teksi, terus bersetuju dengan permintaan Humaira untuk membantu. Begitulah harmoni semangat kejiranan di Kampung Selasih 3.

Humaira menyuakan muka lalu Encik Fahim mengucup dahi anaknya itu. Dia perlu menanti 6 bulan lagi untuk bersua muka sehingga anaknya pulang dengan segulung ijazah.

Puan Muna meminta maaf berkali-kali pada Humaira kerana tidak dapat hadir pada majlis graduasi atas kondisi kesihatan yang tidak mengizinkan.

Usai berpelukan, dengan langkah kaki yang berat Humaira menaiki bas lalu melambai tangan sebelum hilang dari pandangan orang tuanya.

Bas dari Kota Bharu meluncur laju menuju ke KLIA2, meninggalkan dua orang tua yang berjasa.

Humaira menyeka air mata yang mengalir tanpa sedar. Hidupnya mungkin teruji, tapi kasih sayang yang diterima dari Allah dan kedua orang tua tiada taranya. Syukurnya makin dalam. Keputusannya makin bulat. Dia tahu Allah sedang memberinya persediaan emosi dan mental untuk menempuh masa depan yang belum jelas.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tua-mu. Hanya kepada Aku, kembalimu." - Surah Luqman ayat 14.

Disclaimer: cerita rekaan. tiada kaitan dengan penulis. penulis cuma nak menulis. Bukan kak hasanah. ^^' sayangi ibu bapa,k?


25/12/2016
13.30 pm Ishikawa, Japan.

antologi

Kelopak Satu

9:37 PM

Rose Garden, Reitaku University, Kashiwa

"Tangkap dia, kalau jumpa humbankan dia ke dalam sungai!"

Hingar bingar rusuhan orang ramai memecah keheningan subuh Kampung Merpati. Masing-masing membawa puntung kayu yang dinyalakan api dihujungnya. Mereka meredah semak dan belukar, mengharung sungai. Sebahagian daripada mereka mengetuk pintu setiap rumah di kampung itu untuk mencari seorang anak gadis malang, bernama Cempaka Sari.

"Ada apa riuh-riuh itu mak" Sambil terpisat-pisat bangun dari lena, Cempaka mencari ibunya di dapur.

"Tiada apa-apa Sari, pergilah kau tunaikan solatmu dulu, nak" Ujar ibunya lembut, bersama riak tenang wajah yang sedang dibuat-buat.

Cempaka tidak sedap hati, mulut menutur zikir sambil menuruni anak tangga di luar rumah, lalu mencedok air dari tempayan untuk dibuat air wudhu. Usai solat subuh, terdengar suara memberi salam di luar rumah minta dibukakan pintu. Peluh merecik di dahi Cempaka. Siapa pula subuh-subuh datang ke rumah. Pintu dikuak perlahan.

"Allahuakbar, bapak rupanya."

Kerana terlalu gelisah, terlupa dia pada bapanya yang melazimi subuh berjemaah di masjid  Bapanya baru pulang dari masjid tapi hari ini tampaknya lebih awal dari kebiasaan.

"Cempaka, segeralah kau siapkan persalinan barangkali untuk dua tiga hari perjalanan. Kita harus lekas keluar dari kampung ini", pesan bapa dengan suara sedikit mengah.

Ibunya datang dari belakang dengan dua mangkuk tingkat. Barangkali sebagai bekal perjalanan.

"Lekaslah kau bersiap nak, hari sudah singkat. Kita kena cepat." ujar ibu, sudah hilang tenang dalam nada suaranya.

Cempaka akur tanpa jawapan lalu segera ke kamar tidur. Dia membentangkan kain batik di atas lantai lalu mula menyusun helaian baju dan barang-barang keperluan di atasnya. Sesudah itu dia menyimpul ikatan kain kemas-kemas lalu disandangkan dibahu. Rambut diikat sanggul, dua tiga juntai rambut diselit ke belakang telinga lalu dia menyarung kerudung di kepala. Dia berlari anak menuju bapa dan ibu yang sudah menunggu di bawah rumah.

Selesai menutup pintu depan, Pak Salak segera menyalakan dua puntung kayu untuk dibuat obor. Satu diserahkan kepada isterinya. Kedengaran sayup-sayup dari jauh suara orang berteriak menjerit nama Cempaka.

"Lekas, kita lari ke arah sungai. Sudah aku siapkan sampan" Pak Salak mengerahkan isteri dan anak yang dikasihi pergi dahulu.

"Hah, itupun mereka! Kejar!" Gerombolan orang kampung dapat melihat dari jauh 3 beranak yang sedang ketakutan itu. Mereka berlari dengan langkah besar-besar untuk menghalang keluarga tersebut daripada melarikan diri.

Pak Salak sudah memikirkan idea untuk menyelamatkan diri. Sengaja dia berpisah dengan isteri dan anaknya untuk mengelirukan orang kampung. Hasilnya, dua kumpulan terpecah, satu mengikut cahaya api dari obor Pak Salak. Satu lagi mengejar cahaya dari obor yang dipegang ibu Cempaka.

Namun takdir tuhan, perancangan Pak Salak tidak menjadi. Setibanya Cempaka bersama ibu di tebing sungai, asap sudah berkepul memenuhi ruang udara. Sampan yang sepatutnya dinaiki telah hangus dibakar orang kampung yang berang.

"Allahuakbar, dugaan kita. Suratan kita. Innalillahi wa inna ilaihirojiun " Mak Som menggenggam tangan anaknya erat-erat.


***

bersambung

(Kelopak Cempaka di dahan Sakura)
klik: <3 Teaser <3







antologi

#teaser

3:55 AM

Koganei Park, Tokyo


Cempaka berjalan perlahan dibawah teduhan rimbunan pohon sakura. Menghirup udara sejuk musim bunga, cuba menahan sesak rindu pada bumi kelahiran. Tudung labuh putih jahitan tangan bonda berkibaran lembut disapa bayu yang berzikir, tetapi masih akur menutupi aurat tuan pemakainya, membantu memelihara pandangan manusia.
"Aku bakal menjadi saksimu di akhirat nanti, aku akan berkhidmat hingga akhir hayatmu." bisik sang tudung labuh putih pada Cempaka, berjanji untuk taat setia.

- - - - - - -

27/03/2015

3.55 am, Kashiwa

Nantikan. "Kelopak Cempaka di dahan Sakura"
Klik: <3 Kelopak Satu <3

antologi

Ğüneşte yanmayam gölgenin kıymetini bılmez

11:21 AM

Tokyo Japanese Language Education Center - JASSO, Shinjuku


Fikirannya menerawang. Pensel di tangan tidak bergerak-gerak dari tadi. Pandangannya kosong melihat tulisan tulisan Jepun yang berserabut. Bila lama- lama ditenung tulisan itu, kelihatan seperti cacing- cacing bergelimpangan yang memualkan. Sungguh. @_@.

"Haishh!!!" Dihempasnya pensel lalu membelek-belek mug yang sudah kosong.

Haulah bingkas bangun menuju ke 'daerah damai'---rak bukunya di sebelah katil. Jari jemarinya laju berlari memilih buku untuk dibaca.
"Secangkir Teh Pengubat Letih" -karya ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
Dia kembali ke kerusi lalu menyelak satu persatu helaian buku itu untuk mencari halaman terakhir yang dibacanya pada bulan lepas ketika dalam perjalanan ke Hakone,bumi yang indah ketika musim luruh. Buku ini telah menjadi inspirasi buat Haulah untuk mempelajari bahasa Turki pula sekiraya dia berjaya menamatkan pengajiannya dalam kos bahasa jepun dan bahasa arab suatu hari nanti.
Matanya tertancap pada sebaris ayat dalam buku tersebut.

"Ğüneşte yanmayam gölgenin kıymetini bılmez"
"Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh" - peribahasa Turki.

Fikirannya menerawang lagi. tapi kali ini tidak seserabut tadi. Mindanya ligat mengingati kisah seorang pelajar Malaysia di Turki, saudara Ammar yang telah menghadap Ilahi pada awal November yang lalu setelah dilanggar van Ambulan ketika sedang melintas jalan.

Dengan keluhan yang berat, Haulah menutup buku tersebut lalu mengambil semula pensel tadi dan mula mencoret sesuatu di atas kertas. Diletakkan semula buku tersebut ke tempat asalnya.

Pensel di tangan digenggam kemas. Haulah kembali menghafal tulisan-tulisan jepun (Kanji) yang ditinggalkan sebentar tadi. Kali ini lebih fokus dan bersemangat. di sudut hati kecilnya, berbekalkan sedikit kudrat yang dikerah hari ini, moga-moga dia juga mampu menyumbang seluruh tenaga, ilmu dan jiwanya buat ummah yang disayangi.

"Go go ummu hamzah"
Haulah bermonolog sendiri.


26/11/2013
11.54 pm waktu Tokyo, Jepun.

antologi

cinta dan hati ini

7:39 AM

Teluk Ibai, Kuala Terengganu

Apalah guna aku berdiri?
Tanpa cinta perjuangan haraki.

Untuk apa aku bermimpi?

Andai hatiku masih mati.

Sesaat nanti ajal meniti,

Bimbang-bimbang syahadahku terkunci.


Pantai Kuala Ibai, Terengganu


12/10/2012
2.35 pm, Kolej Akasia, Intec Shah Alam