antologi

Kasih al-Qarni

11:38 AM

Dalam bas menuju WG IPIJ 2016 di Ichikawa

Humaira melepaskan pandangan ke luar tingkap, sebak didada kian terasa namun cuba dihilangkan dengan menikmati alam terbentang luas di hadapan mata.

Indah nian ciptaan al- Khaliq, bagaikan lukisan menghiasi tingkap bas sepanjang permusafiran. Nikmat pancaindera yang masih dipinjamkan, mengundang tahmid dan tasbih bertalu-talu dalam hatinya.

"Ayah, Ma. Maya nak cakap sikit"
Perbualan di warung berdekatan stesen bas tadi kembali menjengah di fikiran.

Humaira pandang mata ibu bapanya dalam-dalam.
Sampul pertama dibuka, tawaran melanjutkan master di Canada bersama biasiswa penuh. Sampul kedua, surat kelulusan permohonan kerja di syarikat Jepun dengan tawaran gaji yang tinggi. Sampul ketiga, tulisan tangannya tertulis, "tinggal bersama ma dan ayah, mulakan pencarian kerja atau biaya master di Malaysia".

"Maya dah fikir masak-masak, Maya pilih ma dan ayah."

Encik Fahim berteleku memandang meja. Mata Puan Muna mula bergenang, sesekali memandang suaminya yang mendiamkan diri.

"Tentang 2 pilihan tu, Maya cuma nak kongsi berita gembira pada ma dan ayah", suara Humaira sedikit bergetar. Menandakan pilihan yang dibuat bukan suatu yang mudah.

Encik Fahim bukannya tidak faham semangat yang melonjak lonjak dalam diri anak tunggalnya tentang keinginan menyambung belajar dan mengembara di bumi orang. Tapi rindu yang ditanggung bertahun tahun ini sudah cukup menyeksakan, apatah mendapat berita mahu ditinggalkan lagi.
Isterinya kini telah kabur pandangan mata dan menghidapi sejenis penyakit yang mula memasuki stage ke 4, semakin hari semakin lemah dan tidak bermaya.

Dalam tempoh 2 bulan cuti semester, Humaira lah memandikan ibunya ketika Puan Muna ditahan di Hospital. Setiap malam, kaki bapanya pula diurut dengan minyak zaitun supaya tidak kekeringan dan pecah kulit.

Encik Fahim berbelah bagi. Anaknya itu sejak awal sekolah menengah lagi sudah meninggalkan halaman rumah, kini bagaikan mahu dituntut semula kehadiran permata itu disisinya, menjaga pakai minum dirinya yang kini uzur berkerusi roda.

"Ayah ada simpanan duit pencen untuk digunakan bagi mengupah pembantu menjaga ayah dan ma"
Encik Fahim memulakan bicara.

Humaira tersentak. Tidak pernah dia menyangka ayat seumpama itu meluncur keluar dari mulut ayahnya. Berdosakah dia?

"Ayah dan Ma pernah berbincang tentang hal ini. Kalau betul Maya sudah bercita-cita mahu merantau, kami sudah bersedia. Jadi janganlah ditahan-tahan azam itu. Kami redha, kejayaan Maya kebahagian kami juga."

Humaira menekup mulutnya menahan esak tangis. Difikirkan pengorbanannya sudah cukup besar, namun jelaslah tidak akan mungkin mampu menandingi kasih sayang insan bernama ayah dan ibu.

Perbualan mereka terhenti disitu. Humaira membayar bil restoran dan menolak kerusi roda ayahnya keluar dari warung menuju ke kereta. Pak Samad, jiran sebelah rumah mereka sudah setia menanti di pintu kereta, bertugas menjadi pemandu mereka hari ini. Kebetulan pagi Ahad dia tidak bekerja sebagai pemandu teksi, terus bersetuju dengan permintaan Humaira untuk membantu. Begitulah harmoni semangat kejiranan di Kampung Selasih 3.

Humaira menyuakan muka lalu Encik Fahim mengucup dahi anaknya itu. Dia perlu menanti 6 bulan lagi untuk bersua muka sehingga anaknya pulang dengan segulung ijazah.

Puan Muna meminta maaf berkali-kali pada Humaira kerana tidak dapat hadir pada majlis graduasi atas kondisi kesihatan yang tidak mengizinkan.

Usai berpelukan, dengan langkah kaki yang berat Humaira menaiki bas lalu melambai tangan sebelum hilang dari pandangan orang tuanya.

Bas dari Kota Bharu meluncur laju menuju ke KLIA2, meninggalkan dua orang tua yang berjasa.

Humaira menyeka air mata yang mengalir tanpa sedar. Hidupnya mungkin teruji, tapi kasih sayang yang diterima dari Allah dan kedua orang tua tiada taranya. Syukurnya makin dalam. Keputusannya makin bulat. Dia tahu Allah sedang memberinya persediaan emosi dan mental untuk menempuh masa depan yang belum jelas.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tua-mu. Hanya kepada Aku, kembalimu." - Surah Luqman ayat 14.

Disclaimer: cerita rekaan. tiada kaitan dengan penulis. penulis cuma nak menulis. Bukan kak hasanah. ^^' sayangi ibu bapa,k?


25/12/2016
13.30 pm Ishikawa, Japan.